Khamis, 19 Oktober 2017

SIAPAKAH yang ditentang oleh anda sebenarnya?

Oleh: AZMAN HUSSIN

UMNO, yang mengetuai Barisan Nasional, sebagai parti pemerintahkah yang anda lawan?

Jika anda menentang parti pemerintah, sudah tentu anda menentang dasar-dasarnya. Apakah yang salahnya dengan dasar-dasar parti UMNO?

Tidak ada apa yang salahnya, melainkan ia tidak disukai oleh orang-orang bukan Islam, kerana UMNO memperjuang hak-hak orang-orang Melayu, tetapi bukan perkara ini yang kita mahu bincangkan di sini.

Anda boleh berhujah, dasar-dasar UMNO adalah baik, tetapi ia disalahgunakan oleh pemimpin-pemimpinnya. Maka pemimpin-pemimpin ini yang perlu ditukar atau dijatuhkan, kata anda, walaupun tindakan anda adalah mahu menukarkan parti pemerintah.

Tetapi, adakah benar begitu?

Mari kita fikirkan dengan lebih dalam.

Anda masih ingat Reformasi? Apakah sebab Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditubuhkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim? Bukankah ia ditubuhkan untuk menentang Tun Dr Mahathir, yang menerajui kerajaan Barisan Nasional selepas Datuk Seri Anwar dipecat daripada UMNO? Ketika itu pakatan pembangkang bersatu menentang Dr Mahathir yang digelar Mahafiraun, Mahazalim, dan ada banyak lagi gelaran buruk untuk beliau, jika anda masih ingat.

Sebaliknya hari ini, apabila Tun Dr Mahathir, yang tidak bersetuju dan menentang Datuk Seri Najib mentadbir negara, beliau pula diterima oleh pemimpin pembangkang, walhal PKR dan Pakatan Rakyat (PR) terbentuk untuk menentang Tun Dr Mahathir. Pelik, bukan? Bagaimana “dosa-dosa” beliau sebagai bekas Perdana Menteri terlama Malaysia setakat ini, iaitu selama 22 tahun, telah dilupakan dan diabaikan oleh pembangkang?

Anda nampak? Ia bermakna bukan individu yang bersalah, tetapi parti. Itulah hakikatnya. Tetapi, jika kita lihat dalam kes ini, bukan parti yang bersalah. Sepatutnya individu yang bersalah kerana menyeleweng daripada dasar-dasar parti sehingga merosakkan imej parti.

Tetapi, kalau individu yang bersalah, sudah tentu individu seperti Tun Dr Mahathir atau Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap akan ditentang walaupun mereka tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan Malaysia. Ironinya, mereka masih diterima, malah dijadikan ketua untuk menentang kerajaan.

Ia bukan satu kes sahaja. Ramai daripada barisan pemimpin kerajaan yang diburukkan oleh pembangkang seperti Datuk Seri Shafie Afdal, Tan Sri Muhyidin Yassin, Datuk Seri Mukhriz dan yang lain-lain (sila sebut nama-nama mereka), apabila mereka tidak lagi berada dalam UMNO dan kerajaan, terus disanjung dan diberikan tempat di pentas-pentas pembangkang. Dakwaan-dakwaan negatif ke atas mereka menjadi senyap di mulut pembangkang.

Keluar daripada UMNO seperti “masuk ke gereja untuk mensucikan dosa.” Selepas itu mereka menjadi suci di mata pembangkang.

Lihat pula Ezam Mohd Nor, Azmin Ali, atau pemimpin-pemimpin DAP yang kini menerima dan bersekongkol dengan Tun Dr Mahathir untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri.

Benar, ini lapangan politik, iaitu memanipulasi segala kaedah, dan musuh boleh menjadi kawan untuk mencapai kepentingan dan matlamat bersama. Anda akan katakan bahawa tidak ada musuh atau kawan yang kekal dalam politik.

Tetapi, bukan itu yang kita mahu bincangkan.

Mengapa ia jadi begitu?

Malah lama sebelum itu, saya ulang sekali lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga digelar dengan pelbagai gelaran buruk ketika menjadi sebahagian daripada barisan pemimpin kerajaan. Anda tentu masih ingat, bukan? Ingat juga Tengku Razaleigh, Zaid Ibrahim, atau Ibrahim Ali.

Ironinya, apabila manusia yang dianggap buruk oleh pembangkang ini disingkirkan daripada UMNO yang menjadi parti pemerintah, beliau pula yang diangkat sebagai ketua pembangkang. Ini adalah keadaan yang sangat kontradiksi dan cepat berubah.TUN_M_KK

Anda nampak apa yang saya hairankan? Bagaimana keadaan ini boleh berubah menjadi terlalu berbeza, seolah-olah sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin kerajaan adalah hina, dan sesiapa yang membangkang kerajaan pula adalah mulia.

Mari saya katakan pula kepada anda suatu perkara. Ya, anda tidak perlu terkejut jika ditakdirkan, individu yang ditentang dengan dahsyat hari ini, iaitu Datuk Seri Najib keluar UMNO, beliau pula yang akan dijulang oleh anda. Jangan kerutkan dahi anda.

Sekejap. Jangan katakan saya bodoh dengan andaian ini. Bodohkan diri anda sendiri terlebih dahulu, yang pernah menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir sebelum ini, walaupun anda pernah mengecam mereka. Anda telah melakukan kebodohan itu sebelum ini, maka tidak mustahil anda akan mengulanginya lagi, bukan?

Anda boleh terima Tun Dr Mahathir yang digelar Mahafiraun, maka anda juga akan menerima Datuk Seri Najib (dengan syarat beliau keluar UMNO dan berpatah balik menentang kerajaan).

Realiti yang pernah berlaku, bukan?

Fikirkan situasi ini pula, PAS yang selama ini dianggap Islamik ketika menentang UMNO, diragui perjuangannya apabila mereka kelihatan mesra dengan pimpinan kerajaan hari ini. Anak-anak muda, yang selama ini diajar oleh PAS bahawa UMNO itu sebuah parti assabiyah dan tidak Islamik pula yang menghina dan menentang pimpinan PAS kerana mereka tidak suka PAS berbaik dengan UMNO. Orang-orang yang selama ini ditanam dalam minda mereka bahawa PAS parti Islam yang memperjuangkan agama telah menyerang semula PAS apabila PAS kelihatan berbaik dengan UMNO.

Anda nampak apa yang pelik di sini?

Ya, sama ada pelik atau tidak, sesiapa yang cenderung menyokong kerajaan akan ditentang. Dan sesiapa yang membangkang adalah dianggap mulia. Perjuangan suci bagi mereka adalah menentang kerajaan.

Sesiapa sahaja yang keluar daripada pembangkang dan menyertai kerajaan akan dituduh pengkhianat, pembelot dan menjual bangsa. Mereka akan dituduh dibeli, menerima rasuah, pemakan dedak dan sebagainya.

Dan seperti yang dikatakan tadi, sesiapa yang belot daripada kerajaan adalah hero, pejuang atau wira sebagaimana yang dilalui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir hari ini.

Mari kita pergi lebih jauh lagi.

Bayangkan, jika mengikut logik situasi di atas, adalah tidak pelik jika kelak pakatan pembangkang ini memenangi Pilihanraya Umum dan menjadi kerajaan, mereka pula yang akan ditentang oleh anda. Barisan Nasional yang turun menjadi pembangkang akan disanjung sebagai pejuang.

Terkejut? Tidak logik? Jangan tergesa-gesa. Mari saya waraskan pemikiran anda.

Anda harus mempercayainya.

Kenapa hari ini anda menentang Datuk Seri Najib? Kerana beliau adalah Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Itu sahaja sebabnya walaupun anda memberikan pelbagai alasan lain. Kenapa anda menentang UMNO? Kerana UMNO adalah parti pemerintah yang membentuk kerajaan. Ya, saya telah jelaskan perkara ini di atas tadi secara sebaliknya jika anda renungkan.

Maka, parti manapun yang memerintah, ia tetap akan ditentang oleh anda. Katakanlah Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, melalui PKR ataupun UMNO, beliau tetap akan ditentang oleh anda melalui rekod-rekod yang pernah anda buat.

anwar_liwatApa yang saya mahu beritahu kepada anda adalah, bahawa anda sebenarnya menentang establishment, dalam konteks ini ia adalah kerajaan. Apabila pembangkang bertukar menjadi pemerintah, anda pula yang akan menentang mereka. Ringkasnya, anda tetap menentang kerajaan dan menyokong sesiapa sahaja yang menentang kerajaan.

Jika dakwaan saya ini salah, sudah tentu sebaliknya anda tidak akan menerima Tun Dr Mahathir atau Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika anda menentang individu, anda tidak akan menerima Tun Dr Mahathir, apatah lagi lama sebelum itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah anda tuduh perasuah, penyeleweng dan menzalimi rakyat. Matlamat tidak menghalalkan cara jika anda benar-benar melakukan perjuangan suci.

Apa yang saya mahu sampaikan lagi di sini, bukan pertukaran kerajaan yang anda mahukan, kerana jika kerajaan bertukar sekalipun, anda tetap akan menentang kerajaan. Anda tidak faham? Ulang baca semula contoh-contoh yang saya terangkan berkali-kali di atas, dan akan memahami mengapa saya berkata seperti apa yang saya katakan ini.

Jadi, apa sebenarnya? Bolehkah saya simpulkan bahawa anda sebenarnya adalah manusia penentang.

Mengapa anda menentang?

Anda adalah manusia yang berkeluh-kesah, sentiasa tidak berpuas hati dan tidak mensyukuri keadaan yang sedang anda nikmati. Anda menentang apa saja dan meletakkan segala salah kepada orang atasan, parti pemerintah. Selagi perkara itu tidak berubah, anda akan menentang sesiapa sahaja yang memerintah walaupun hasil yang anda dapat lebih buruk lagi.

Jika benar perjuangan anda berada di atas landasan yang benar, anda pasti akan menolak individu-individu yang anda dakwa zalim tadi untuk memimpin anda.

Politikus-politikus yang pragmatik yang selalu bertukar pendirian mengikut kepentingan peribadi mereka ini sudah pasti luput dalam politik negara ini jika anda memperjuangkan kebenaran.

Tetapi, kerana mereka memimpin anda untuk menentang kerajaan, anda menerima mereka.

Akhirnya, apakah yang perlu anda tentang sebenarnya?

Anda tidak dapat menjawabnya?

Saya tolong cadangkan jawapannya kepada anda, ia adalah diri anda sendiri.

Saya maksudkan, anda harus menentang nafsu dan ketidakpuasan hati anda sendiri dalam menerima keadaan. Anda harus mengubah diri dan perjuangan anda.

Adakah saya maksudkan anda tidak perlu menentang dan mengubah keadaan yang tidak adil misalnya?

Tidak. Anda boleh berjuang untuk mengubah atau menukarnya. Tetapi anda tidak boleh melawan perompak dengan menggunakan perompak yang lain, kerana itu tidak akan dapat menghapuskan perompakan.

Kerosakan yang anda lakukan kerana perjuangan buta anda ini adalah, anda akan menerima sesiapa sahaja asalkan mereka dapat menjayakan impian anda menumbangkan kerajaan. Syaitan pun anda akan terima menjadi kawan seperjuangan anda.

Perkara inilah yang sebenarnya sedang anda lakukan. Anda bersekongkol dengan parti dan individu yang menentang Islam dan Melayu, dengan pejuang-pejuang LGBT, puak-puak Liberalisme, Pluralisme dan sebagainya hanya untuk menjatuhkan kerajaan yang anda dakwa zalim.

Sumber : whatsapp